ADGSOM1 & ADGMIN1  
       
  LAUNCH OF THE 50TH ANNIVERSARY CELEBRATION OF RUKUN NEGARA  
       
  KL SUMMIT 2019  
       
  HAWANA 2018  
       
  AES 2016  
       

 
 
 

Disember 01, 2024 -Ahad

 
  BAWA TEMA 'MENERAJUI INTEGRASI ILMU', KONVOKESYEN USIM KE-22 RAI 3,079 GRADUAN

Friday 29/11/2024



Table
Majlis Konvokesyen ke 22 USIM  akan disempurnakan oleh DYMM Tuanku Canselor, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan 
 
NILAI, 29 Nov (Bernama) -- Seramai 3,079 graduan dari 73 program pengajian akan diraikan pada Majlis Konvokesyen Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) kali ke-22 yang dijadualkan berlangsung pada 3 sehingga 6 Disember 2024 ini.
 
Dengan tema “Menerajui Integrasi Ilmu”, majlis yang penuh bermakna bagi bakal graduan ini akan diraikan dengan penuh adat isitiadat dan disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Canselor USIM, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud. DYMM Tuanku Canselor akan berangkat mencemar duli bagi mengisytiharkan majlis konvokesyen tersebut dan seterusnya berkenan untuk menganugerahkan ijazah kepada para graduan pada sidang pertama.
 
Majlis Konvokesyen kali ini turut menyaksikan istiadat Pemasyhuran dan Perisytiharan Pro-Canselor Baharu kepada Yang Amat Mulia Tunku Zain Al-‘Abidin ibni Tuanku Muhriz dan Yang Berbahagia Tan Sri Abdul Wahid Omar.
 
Naib Canselor, Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani berkata, dari 3,079 graduan tersebut, seramai 104 orang merupakan graduan Doktor Falsafah (PhD), 119 merupakan graduan Sarjana, 174 orang merupakan graduan Diploma Siswazah serta 2,682 lagi merupakan graduan program Sarjana Muda.
 
“Majlis konvokesyen kali ini bakal melakar sejarah tersendiri apabila USIM turut meraikan graduan sulung bagi program Doktor Falsafah Kejuruteraan”.
 
“Pada majlis yang sama Tuanku Canselor turut berkenaan mengurniakan Ijazah Kehormat serta gelaran Profesor Emeritus serta anugerah-anugerah kecemerlangan akademik”.
 
Penerima Anugerah Ijazah Kehormat (Doktor Falsafah) akan dianugerahkan kepada dua penerima iaitu Ijazah Kehormat (Doktor Falsafah) Pengajian Bahasa Arab akan dianugerahkan kepada YBhg. Tan Sri Dr. Ismail Haji Ibrahim, beliau merupakan Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI). Manakala Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Da’wah dan Pengurusan Islam akan dianugerahkan kepada YBhg. Dato’ Seri Dr. Abdul Aziz bin Sheikh Abdul Kadir, Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).
 
Menurut Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin lagi, turut menerima penganugerahan adalah seorang tokoh akademik USIM, iaitu YBhg. Profesor Dato’ Dr. Musa Ahmad dari Fakulti Sains dan Teknologi (FST) bagi penganugerahan yang membawa gelaran Profesor Emeritus.
 
Majlis yang berlangsung selama empat hari yang melibatkan tujuh sidang ini turut menyaksikan pengurniaan Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) kepada Shamsul Aiman Mua’mar Shamsul Bahrin, graduan dari Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), serta Muhammad Azfar Fathi Sa’adon, graduan dari Fakulti Pergigian.
 
Bagi Anugerah Canselor kategori Siswazah, penerimanya adalah Mohd Ibnu Haikal Ahmad Sohaimy graduan program Doktor Falsafah dalam bidang Sains dan Teknologi, Fakulti Sains dan Teknologi dan Muhammad ‘Adnin Ali Huddin, bagi program Sarjana Muda dalam bidang Sains Komputer dengan Kepujian (Keselamatan dan Jaminan Maklumat) Fakulti Sains dan Teknologi.
 
Manakala bagi penerima Anugerah Lembaga Pengarah Universiti, dianugerahkan kepada Muhammad Feidhul Hakim Fatah Yasin, graduan Sarjana Muda Sains Dengan Kepujian (Fizik Gunaan), Fakulti Sains dan Teknologi dan penerima Anugerah Pingat Emas Naib Canselor adalah Nurul Hidayah Abdul Razak, graduan Sarjana Muda Syariah (Industri Halal) dengan Kepujian Fakulti Syariah dan Undang-undang.
 
Pihak Universiti merakamkan sekalung penghargaan dan ucapan tahniah kepada para graduan yang telah berjaya menamatkan pengajian dengan jayanya. Kejayaan ini turut didedikasikan kepada ibu bapa, ahli keluarga, penjaga, para pentadbir dan pendidik serta seluruh warga USIM yang ikhlas memastikan para graduan menjadi insan berilmu, mengisi ruang dan pelusuk ketamadunan ummah supaya menjadi insan terbaik yang dibanggakan.
 
SUMBER: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI: 
Nama: Noorumaina Mohamed Yunus
Penolong Pegawai  
Pusat Komunikasi Strategik    
Tel: (+6)06 7978620    
Emel: 
[email protected] 
https://stracomm.usim.edu.my 

--BERNAMA 

 
 
 

Copyright @ 2024 MREM . All rights reserved.